SEKOLAH MENENGAH SAINS TELUK INTAN atau SEMESTI mula dibina pada bulan September 1980. Awal tahun 1984 SEMESTI mula menerima pelajar baru. Letaknya kira-kira 13 km dari bandar Teluk Intan dan mempunyai keluasan 21.5 hektar.Pengetua yang pertama ialah Tuan Haji Noor bin Bakar PJK yang mula bertugas pada 1hb. Februari, 1984. Pada masa itu pelajarnya berjumlah 425 orang yang terdiri dari pelajar Tingkatan 1 dan 4 serta kelas Pra Universiti, AET (Australian English Test). Dalam tahun 1985 pelajar GCE A Level memulakan pengajian mereka di sekolah ini.SEMESTI pernah mencapai rekod yang cemerlang dalam bidang akademik. Dalam keputusan peperiksaan SPM 1986, SEMESTI mencapai 100 peratus kelulusan (180 calon mendapat Gred 1, 6 calon mendapat Gred II dan 5 calon mendapat Gred III dan merupakan keputusan SPM terbaik di Malaysia. Keputusan SPM tahun 1987 sekali lagi SEMESTI mencapai kelulusan 100 peratus (130 calon mendapat Gred I dan 3 calon mendapat Gred II) dan merupakan keputusan kedua terbaik di Malaysia.SEMESTI bukan sahaja memastikan pelajar mencapai kejayaan cemerlang dalam bidang akademik tetapi mahu melahirkan pelajar yang berkebolehan dalam semua bidang. Bagi tujuan tersebut SEMESTI menyediakan segala kemudahan dalam bidang permainan. olahraga, persatuan, kelab, pasukan seragam dan keagamaan. Dengan menyediakan tempat penginapan yang selesa dan kemudahan rekreasi, maka diharapkan matlamat penubuhan SEMESTI akan tercapai.